Tumpuan :
Nasional

Orang Asli baiki sendiri jalan masuk ke penempatan yang rosak

Penduduk Kampung Pasik, Pos Pasik bergotong royong membaiki jalan rosak. -Foto: Ihsan penduduk

GUA MUSANG: Lebih seminggu jalan masuk ke penempatan rosak akibat hujan, penduduk Orang Asli Kampung Pasik, Pos Pasik di sini bertindak membaiki sendiri laluan berkenaan.

Penduduk Mohd Sani Nahtiman berkata, dia bersama 19 penduduk lain mengambil inisiatif itu kerana tidak sanggup lagi menanggung kesukaran dan menunggu pembaikan oleh pihak berkuasa.

“Jalan menuju ke penempatan kami hingga kini masih lagi menggunakan jalan tanah merah dan sering rosak terutama apabila hujan berterusan yang menyukarkan kami keluar masuk.

“Jadi semalam kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk membaiki jalan, membolehkan kami keluar dari perkampungan untuk membeli barang keperluan atau melakukan pelbagai urusan lain di bandar Gua Musang.

“Dengan menggunakan kenderaan penduduk kami memunggah batu sungai untuk diletakkan di kawasan yang jalan rosak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sani berkata, pihak berkuasa menyelenggara kemudahan infrastruktur perkampungan Orang Asli terutamanya laluan keluar masuk.

Katanya, pelbagai kesukaran terpaksa ditempuh penduduk jika laluan rosak termasuk mengambil masa hingga lapan jam menggunakan laluan alternatif untuk ke jalan utama berjarak 40 kilometer.

“Jadi saya harap ada usaha daripada pihak kerajaan untuk menaiki taraf jalan ini dengan menyediakan jalan yang berturap dan saya yakin kerajaan sangat prihatin dengan masalah rakyat terutama yang tinggal di pedalaman,” katanya menganggarkan lebih 25km laluan dari Kampung Kuala Wook ke Pos Pasik perlu dinaik taraf.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah penduduk di Pos Pasik dan membantu mengetengahkan isu itu kepada agensi kerajaan untuk tindakan segera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini