comscore
Tumpuan :
Nasional

Op Tiris: Nilai rampasan hampir RM90 juta dalam tempoh 9 bulan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 767 kes dihasilkan daripada 14,529 pemeriksaan di seluruh negara menerusi Op Tiris bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi sejak 1 Mac hingga 6 Disember lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam memaklumkan, ia melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM88.88 juta.

“Sebanyak 638 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh sama melibatkan 531 individu warga tempatan, 105 individu warga asing manakala dua individu adalah pemastautin tetap,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan bahan bakar itu agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Tegasnya, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

Orang perseorangan yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Mengulas lanjut, menurut Azman, syarikat tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Ia bagi kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

“Kementerian juga akan sentiasa menggerakkan anggota penguatkuasanya dan memperhebatkan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa.

Aduan lengkap boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317; portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; e-mel [email protected]; aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN atau menghubungi Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini