Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Hampir 80 peratus atau 490 daripada keseluruhan 616 tangkapan menerusi Ops Tiris 3.0 setakat ini membabitkan rakyat tempatan yang bersekongkol dengan sindiket penyelewengan dan penyeludupan.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam menyifatkan tindakan tali barut berkenaan adalah tidak adil kerana menafikan hak golongan yang memerlukan dan sabotaj kepada ekonomi negara.
“Ini satu angka yang agak membimbangkan, pada saya kita kena membuat sesuatu untuk mengubah situasi ini dan membuatkan mereka sedar bahawa apa yang mereka buat sebelum ini adalah satu bentuk sabotaj kepada ekonomi kita dan perkara yang tidak adil kepada rakyat yang lain.
“Sebagai contoh, mereka (tali barut) terlibat dalam menyeludup minyak masak ke negara jiran dan dalam masa sama, rakyat negara kita dalam golongan yang betul-betul memerlukan, golongan daif, untuk membeli dengan harga (subsidi) tersebut (tetapi) tidak dapat (beli) mengakibatkan mereka terpaksa membeli minyak masak botol dengan harga yang jauh lebih mahal.
“Jadi ini satu perkara yang pada saya tidak adil, oleh kerana kita nak kekayaan yang cepat walaupun menyalahi undang-undang tapi dalam masa sama juga kita telah mengetepikan hak orang yang sepatutnya,” katanya pada temu bual bersama Buletin TV3 dan Berita Harian (BH), di sini hari ini.
Ops Tiris 3.0 dilancarkan di seluruh negara sejak 1 Januari lalu dengan skop penguatkuasaan meliputi diesel, petrol RON95, minyak masak peket 1 kilogram (kg), gula putih, tepung gandum dan gas petroleum cecair (LPG).
Beliau berkata, daripada keseluruhan 616 tangkapan, sebanyak 335 orang ditangkap melibatkan isu berkaitan diesel manakala baki 281 orang membabitkan komoditi lain.
Mengulas lanjut, menurut Azman, mereka sepatutnya menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab dan membantu membanteras aktiviti yang boleh mensabotaj ekonomi negara.
“Agensi penguatkuasaan selalu dihantui oleh pihak yang memberikan maklumat kepada pihak yang menyeleweng, kadang-kadang mereka juga menjadi tonto.
“Sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya kita merasai kewajipan kita bahawa hasil negara, wang negara, subsidi yang begitu besar untuk rakyat, sepatutnya adalah untuk negara kita.
“Adalah tidak wajar kita bersekongkol ataupun menjadi tali barut kepada penyelewengan tersebut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.