Tumpuan :
Nasional

Ops Sky: Tiga selebriti termasuk penyanyi terkenal akan dipanggil SPRM

Antara yang ditahan dalam Op Sky dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman minggu lalu. – FOTO: SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil tiga selebriti, termasuk seorang penyanyi terkenal, untuk memberi keterangan minggu ini.

Siasatan itu akan dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), dengan seorang ikon inspirasi turut dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan Ops Sky, operasi yang dikendalikan bersama Bank Negara Malaysia (BNM).

Semalam, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan beberapa selebriti yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky akan dipanggil.

Menurutnya, berdasarkan keterangan dan semakan kewangan, selebriti-selebriti terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM150,000 hingga RM400,000 dalam tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat berkenaan.

Azam turut mendedahkan bahawa sindiket berkenaan menaja konsert dan membayar gubahan lagu khas sebagai sebahagian daripada operasi mereka.

Siasatan terhadap selebriti ini susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu, termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank, oleh AML dalam Ops Sky hasil kerjasama dengan BNM.

Dalam operasi itu, SPRM juga mendedahkan bahawa sebanyak RM700 juta pinjaman bank telah diluluskan kepada peminjam yang akhirnya terjerat dengan sindiket ini, yang dipercayai mengambil sehingga 35 peratus daripada jumlah pinjaman yang diperoleh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini