Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PUTRAJAYA: Modus operandi terbaru yang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan Ops Sky melibatkan galakan kepada peminjam untuk mempromosikan syarikat berkenaan agar melabur semula.
Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tindakan ini mungkin mengundang satu lagi kesalahan, iaitu pengambilan deposit haram (illegal deposit taking).
“Mereka yang meminjam, kebanyakannya pegawai kerajaan, digalakkan mempromosikan syarikat berkenaan untuk ‘reinvest’ dalam syarikat itu. Ini satu lagi perkara yang perlu kita teliti sama ada ia membawa kepada kesalahan illegal deposit taking oleh syarikat tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Sementara itu, Azam turut menegaskan bahawa kehadiran tiga selebriti yang dipanggil SPRM adalah untuk membantu siasatan.
“Buat masa ini, saya berpandangan ketiga-tiga mereka sebagai pempengaruh syarikat berkenaan. Namun, kita perlu meneliti mengapa syarikat itu menggunakan selebriti untuk mempromosikan pakej mereka, terutama kepada penjawat awam yang memohon pinjaman. Bukan soal bayaran yang mereka terima, tetapi kita perlu melihat jumlah pelaburan yang dibuat untuk membayar selebriti-selebriti ini,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa tiada keperluan untuk membekukan akaun ketiga-tiga selebriti tersebut, tetapi setakat ini SPRM telah membekukan akaun syarikat terbabit bernilai RM80 juta.
SPRM baru-baru ini berjaya menggagalkan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan. Sebanyak 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia di 24 lokasi, termasuk rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Setakat ini, 27 individu telah ditahan, termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan, dan satu orang awam. Semua mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.