Tumpuan :
Nasional

Ops Sky: Sindiket kaut sekurang-kurangnya 35 peratus pinjaman mangsa

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

KUALA LUMPUR: Syarikat perunding kewangan yang menguruskan pinjaman mangsa termasuk penjawat awam mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada pinjaman bank yang diluluskan.

BH difahamkan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), mendapati mangsa tidak memperoleh semua pinjaman diberikan bank, sebaliknya mempunyai peratusan tertentu yang perlu dibayar kepada syarikat mendalangi sindiket tumpas, dua minggu lalu.

Antaranya yuran perkhidmatan dikenakan sindiket bernilai 35 peratus, manakala penyelesaian pinjaman sedia ada pula mencecah sehingga 40 peratus.

Mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang terdahulu biasanya akan terjebak dengan situasi itu tanpa menilai kerugian yang akan dialami mereka pada masa depan.

Mengulas perkara itu, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki menyatakan sindiket berkenaan mengenakan yuran yang tinggi kepada mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan SPRM mendapati, sindiket berkenaan sudah mendapatkan pinjaman daripada pelbagai bank sekitar RM700 juta kononnya untuk membantu mangsa termasuklah penjawat awam.

“Mereka menguruskan pinjaman ‘multiple loan’ daripada pelbagai institusi kewangan serentak dan bersekongkol dengan pegawai bank yang akan memanipulasikan sistem yang ada.

“Peminjam pula akan dibebani hutang terlalu besar dan biarpun sindiket ini sudah dilumpuhkan, mereka akan kekal berhutang dengan bank dan perlu membayar hutang,” katanya, di sini.

Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan Ops Sky akan berterusan kerana ia membabitkan ramai mangsa dan dokumen.
“SPRM akan memanggil ramai saksi yang bekerjasama dalam kes ini,” katanya.

Ketika ini, siasatan SPRM mendapati, mangsa kini terbeban dengan hutang yang terlalu tinggi sehingga melebihi daripada keupayaan pembayaran hutang.

Difahamkan, ada mangsa yang mempunyai hutang pinjaman yang mencecah sehingga tiga kali ganda daripada keupayaan kewangan mereka sendiri sekali gus hutang itu dikatakan tidak akan selesai dalam masa terdekat.

Sejak dua minggu lalu, media melaporkan, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Ia hasil penahanan 12 individu dalam hasil serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi melalui Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin.

Siasatan mengesan hampir RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket menawarkan bantuan kewangan, yang bermula era pandemik COVID-19.

Sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini