KUALA LUMPUR: Empat lagi pegawai bank ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan Ops Sky, membabitkan sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut, memetik laporan BH Online.
Penahanan terbaharu itu menjadikan 16 individu ditahan SPRM setakat ini, selepas serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi melalui Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.
Semalam, media melaporkan SPRM mengesan hampir RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang terjerat dengan sindiket menawarkan bantuan kewangan palsu.
Ia rentetan pendedahan media Rabu lalu berhubung lebih 4,000 penjawat awam menjadi mangsa sindiket yang didalangi pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Sindiket itu dikatakan menyusup masuk ke kementerian dan jabatan kerajaan di seluruh negara dengan menyamar sebagai agensi kewangan yang membantu pengurusan kewangan.
Terdahulu, 12 individu telah ditahan, termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, serta masing-masing seorang pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.