KUALA LUMPUR: Tiga selebriti termasuk seorang penyanyi terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang ditumpaskan melalui Ops Sky sebelum ini, dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum Jumaat ini.
Memetik laporan BH, ketiga-tiga selebriti termasuk seorang daripadanya ikon inspirasi akan memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Difahamkan juga, proses untuk ‘menjemput’ ketiga-tiganya bagi tujuan berkenaan masih dalam tindakan.
Semalam, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga selebriti yang dikaitkan kes itu akan dipanggil oleh pegawai penyiasat minggu ini.
“Ya benar mereka akan dipanggil minggu ini dan beberapa daripadanya sudah mengeluarkan kenyataan,” katanya yang tidak memaklumkan siapa tiga selebriti yang sedang disiasat itu.
Media sebelum ini melaporkan beberapa selebriti termasuk artis terkenal dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan terbabit.
Daripada keterangan dan semakan kewangan diperoleh, selebriti berkenaan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat.
Azam juga berkata, SPRM turut mengesan terdapat bayaran turut dibuat untuk tajaan konsert dan gubahan lagu khas bagi pihak sindiket itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.