Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
SETIU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu telah menahan enam lelaki warga asing dalam operasi penguatkuasaan Ops Sapu yang dijalankan di beberapa lokasi di Setiu dan Besut, semalam.
Operasi yang bermula jam 8.00 malam itu melibatkan pasukan penguatkuasa dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, dengan pemeriksaan ke atas empat premis yang melibatkan 46 individu pelbagai warganegara.
Menurut jurucakap JIM, tangkapan melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Indonesia berusia antara 26 hingga 45 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.
Seorang warga Bangladesh ditahan di tapak pembinaan di Mukim Marang, Setiu kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Sementara itu, di sebuah rumah kongsi di Kampung Mangkuk, Setiu, tiga lelaki warga Indonesia ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen sah.
Dua lagi lelaki warga Indonesia turut ditahan di sebuah rumah kongsi dalam ladang kelapa sawit di Jalan Bukit Jeruk, Besut atas kesalahan sama.
Semua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan tersebut termasuk Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda, hukuman penjara, serta tindakan pengusiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.