comscore
Tumpuan :
Nasional

Ops Samar: KPDN kesan peniaga jual barang kawalan melebihi harga yang ditetapkan

Sebanyak 55 kg minyak masak paket yang ditemui telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM165.00.

Oleh: Kumaran Rajamoney

TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan perniagaan yang menjual barang kawalan iaitu minyak masak paket bersubsidi melebihi harga yang ditetapkan, menerusi Ops Samar yang dijalankan sepasukan anggota penguatkuasa cawangan Teluk Intan, di sini.

Pengarah KPDN Perak berkata, pemeriksaan dijalankan kira-kira 10.50 pagi semalam setelah mendapat aduan daripada pengadu yang mendakwa penjual minyak masak paket bersubsidi dengan harga RM3.00 sekilogram (kg) melebihi harga yang ditetapkan iaitu RM2.50 sekilogram.

“Bagi memastikan aduan tersebut berasas, sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa telah melakukan pemeriksaan dengan kaedah penyamaran dengan membuat uji beli melalui Ops Samar. Satu uji beli minyak masak paket 1kg yang dilaksanakan oleh pegawai berkenaan dan maklumbalas daripada anak pemilik perniagaan minyak masak paket 1kg bersubsidi dijual dengan harga RM3.00.”

Pemeriksaan dengan kaedah penyamaran dengan membuat uji beli melalui Ops Samar di premis terbabit.

“Setelah uji beli selesai dilakukan, sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa beruniform kemudiannya telah masuk ke dalam premis dan telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis terbabit. Pemeriksaan di ruangan jualan minyak masak paket mendapati harga yang dipamerkan adalah RM2.50 sekilogram, namun apabila pelanggan membuat bayaran, harga yang dikenakan adalah RM3.00 sekilogram,” katanya.

Berikutan penemuan tersebut, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada pemilik premis.

Sebanyak 55 kg minyak masak paket yang ditemui telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM165.00.

Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini