
Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan meningkatkan penguatkuasaan harga barangan keperluan asas di lokasi tumpuan seluruh negeri sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail, berkata langkah ini diambil susulan pengesanan 11 kes sepanjang lima hari pelaksanaan Ops Pantau yang bermula pada 2 Mac lalu.
“Langkah penguatkuasaan besar-besaran ini akan diadakan berikutan kecenderungan rakyat berbelanja sepanjang bulan puasa, dan sambutan Aidilfitri nanti.”
“Seramai 195 penguat kuasa dan 75 Pegawai Pemantau Harga terlibat dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan memantau harga barangan keperluan asas di lokasi strategik,” katanya.
KPDN Perak juga, katanya, telah menerima dua aduan berhubung tanda harga mengelirukan di dua bazar Ramadan sekitar Ipoh.
“Kita juga akan pantau sekiranya ada penggunaan minyak masak paket bersubsidi disalahgunakan di bazar Ramadan atau lain-lain perniagaan. Ini kerana, minyak itu khusus bagi kegunaan pengguna domestik.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada sesi walkabout Bazar Ramadan Rahmah dan Program MySaveFood Ramadan di Taman Cempaka, di sini, hari ini.
Pada Selasa, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 116 aduan diterima sepanjang Ops Pantau dijalankan, dengan Perak mencatat jumlah kes tertinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.