Tumpuan :
Nasional

Ops Lancar: 18 lokasi perangkap had laju di Selangor

PETALING JAYA: 18 lokasi di Selangor dijadikan sebagai lokasi perangkap had laju sempena Ops Lancar yang dilaksanakan bermula semalam sehingga 2 Februari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lokasi perangkap had laju itu membabitkan tujuh daerah di negeri ini.

Menurutnya, antara lokasi tumpuan perangkap had laju itu adalah di Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK,) Kilometer 30 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Jalan Klang Teluk Intan (Pekan Kuala Selangor-Tanjung Karang), Jalan Kuala Selangor-Rawang serta Plaza Tol Sungai Besi.

“Selain operasi perangkap had laju, Polis Selangor turut membuat rondaan di 62 kawasan ‘hotspot’ dan 32 kawasan ‘blackspot’ di seluruh negeri ini.

“Matlamat ops ini dilancarkan adalah untuk melancarkan aliran trafik serta mengurangkan dan mengelakkan kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan.

Hussein berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan boleh terus menghubungi Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di talin 03-2266 3356.

“Selain itu aduan atau pertanyaan juga boleh dibuat ke Bilik Gerakan Trafik Selangor 03-55100559 atau Hotline CCC Selangor 03-55145206,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini