Tumpuan :
Nasional

Op Khas Motosikal: Ramai tiada lesen, tidak perbaharui cukai jalan

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli semasa sidang media di Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN 2024 Peringkat WPKL di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa.

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15,828 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak pelaksanaan Op Khas Motosikal pada 1 November lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara kesalahan paling tinggi dicatatkan ialah kesalahan tiada cukai jalan dan lesen memandu.

“Setakat tujuh hari operasi, sebanyak 15,828 notis dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 59,116 motosikal.

“Pelbagai alasan diberikan sepanjang operasi ini, termasuk ada yang mengatakan tidak sempat untuk mengambil lesen motosikal.

“Jadi saya nasihatkan pengguna-pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan perbaharui lesen dan cukai jalan kerana ia merupakan keperluan yang sangat penting.

“Sekiranya berlaku apa-apa di jalan raya akan mengakibatkan kesusahan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain.” katanya pada sidang media di Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN Tahun 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa pagi tadi.

Katanya, pihaknya juga akan menyita motosikal yang didapati tidak mempunyai cukai jalan, insurans serta yang telah diubah suai secara ekstrem.

Setakat ini katanya, operasi itu turut menyita 282 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, JPJ juga mengeluarkan 752 notis arah periksa dan beberapa notis lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini