comscore
Tumpuan :
Nasional

Ops Kesan: 7,527 premis diperiksa, 409 notis dikeluarkan

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: 7,527 premis perniagaan telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Ops Kesan yang dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus bermula 1 Mac lalu.

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata menerusi Ops Kesan itu juga 409 notis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk tindakan selanjutnya dan 25 aduan telah diterima pihaknya setakat ini.

“OPS Kesan ini pula sepanjang 1 Mac data ini adalah 1 Mac hingga 15 Mac ini kita telah membuat pemeriksaan terhadap 7,527 premis dan kita telah pun mengeluarkan 409 notis peniaga-peniaga didapati melakukan adjusment terhadap harga dan kita telah meminta mereka untuk menjawab mengapakah harga itu dibuat perubahan apakah justifikasi dan sebagainya dan kita telah menerima sebanyak 25 aduan dari platform KPDN.

“Jadi kita mengharapkan melalui pemantauan ini penguatkuasaan ini yang kita gerakkan bukan hanya setakat pegawai kita 2,200 orang tetapi kita juga gerakkan 900 pegawai pemantau harga sama ada melalui Ops Pantau begitu juga dengan Ops Kesan kita berharap bahawa perlindungan dan hak-hak kepenggunaan itu kita dapat pelihara untuk memastikan kepentingan bersama rakyat dan satu kaedah kita menangani kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas Sesi Tinjauan Mesra Program Jualan Rahmah (PJR) dan Bazar Ramadan Rahmah di Tapak Tamu Mingguan Papar di sini hari ini.

Ops Pantau juga ujar Armizan sedang dilaksanakan sejak hari pertama Ramadan pada Selasa lalu dan menerusi operasi itu 6,566 premis telah diperiksa, 226 aduan diterima dan 26 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lajut.

Armizan berkata Ops Pantau dilaksanakan bagi pemantau perkara berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal terutama pada bulan Ramadan ini serta Syawal yang bakal tiba.

“Kita lakukan pemeriksaan dan pemantauan secara lebih kerap dan bersasar ke atas bekalan barang yang menjadi tumpuan rakyat pada bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barang untuk membuat kuih muih.

Tambahnya KPDN turut mempertingkatkan keberadaan 2,200 anggota penguat kuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuk melalui Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna serta kereta peronda bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan selamat dan beretika.

“Selain itu pegawai pemantau harga KPDN seramai 900 orang juga turut sama digerakkan bagi membantu pelaksanaan pemantauan harga di lapangan. Kita harap melalui Ops Kesan dan Ops Pantau juga operasi kita yang lain kepentingan rakyat itu dapat dijaga,” katanya.

Mengulas mengenai PJR Ramadan, beliau berkata setakat ini sebanyak 70 program telah diadakan daripada sasaran 450 program di seluruh negara bagi membantu rakyat membeli barang keperluan dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini