Oleh: Kumaran Rajamoney
KULIM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup (KPDN) menerima 47 aduan berhubung isu beras, sepanjang pelaksanaan Ops Jamin.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata, Ops itu dijalankan bermula 7 Julai sehingga 2 September.
“Daripada 47 aduan itu, terdapat satu aduan berkaitan beras campuran, iaitu campuran beras tempatan dan beras import.”
“KPDN dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melakukan 1,053 pemeriksaan di seluruh negara menerusi membabitkan pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.
Fuziah menambah, aduan terhadap aktiviti mencampurkan beras itu sukar untuk diambil tindakan memandangkan tiada bukti yang dikemukakan oleh pihak yang membuat aduan.
“Aduan mengenai beras yang dicampur, ada kemungkinan dicampur antara beras tempatan dan beras import, tetapi sukar dibuktikan. Kita memerlukan bukti berlakunya aktiviti mencampurkan beras itu dan di mana ia berlaku.”
“Kalau sekiranya ada bukti berlaku aktiviti itu dan bukti itu diserahkan, mungkin kedua-dua kementerian (KPDN dan KPKM) boleh mengambil tindakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fuziah berkata isu berhubung bekalan beras tertakluk bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan KPDN akan memanjang aduan berkaitan bekalan beras kepada KPKM.
KPDN bagaimanapun memberi jaminan akan menggiatkan pemeriksaan di bawah Ops Jamin bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI).
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Bersama Rakan Strategik KPDN (SJ Circle Sdn Bhd) di Kulim Industrial Estate dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Roziah Abudin.