comscore
Tumpuan :
Nasional

Op Hire selamatkan RM500 juta daripada disalah guna majikan

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Azman Mohammed Aziz Mohammed.

KUALA LUMPUR: Lebih RM500 juta dana insentif PenjanaKerjaya berjaya diselamatkan daripada disalah guna majikan susulan melalui Op Hire yang digerakkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata selain Op Hire yang dijalankan bermula Julai tahun lalu, usaha sama digerakkan melalui Op Hire 2.0 yang membabitkan penahanan 47 pengarah syarikat yang terbabit dalam kes tuntutan palsu di bawah PenjanaKerjaya semalam.

Mengulas lanjut, katanya, tindakan penguatkuasaan dalam Op Hire 2.0 lebih luas meliputi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, berbanding Op Hire yang sebelum ini hanya bertumpu di Semenanjung.

“Op Hire dan Op Hire 2.0 dilaksanakan secara bersepadu antara PERKESO dan SPRM,

“Selain penguatkuasaan, PERKESO juga mengukuhkan sistem dalaman, proses dan tadbir urus serta mengetatkan kawalan prosedur sedia ada untuk memastikan hanya pihak yang

layak mendapat insentif terbabit,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Terdahulu, 47 pengarah syarikat ditahan reman di 10 negeri susulan kes penipuan di bawah Penjana-Kerjaya membabitkan nilai keseluruhan tuntutan palsu RM63 juta.

Permohonan reman ke atas semua suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun termasuk 14 wanita itu susulan Op Hire 2.0 dijalankan SPRM membabitkan tuntutan palsu dilakukan lebih 50 syarikat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, turut mengesahkan ratusan lagi syarikat dikenal pasti terbabit kes tuntutan palsu itu dan memberi kata dua supaya mereka tampil menyerah diri atau berdepan tindakan tegas.

Op Hire 2.0 digerakkan sebagai lanjutan kepada Op Hire 1.0 yang dilaksanakan pada 2022 yang mana ketika itu 74 orang ditahan daripada 60 syarikat yang membabitkan tuntutan palsu RM88 juta, dengan 52 didakwa di mahkamah.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, PERKESO juga mengambil tindakan penggantungan bayaran setelah disyaki tuntutan dibuat palsu, berdasarkan penganalisian data dan pemantauan.

“Tuntutan sivil terhadap pihak terbabit juga dilaksanakan untuk mendapatkan semula dana yang disalah guna.

“Justeru, PERKESO menasihatkan majikan dan penyedia latihan yang telah membuat tuntutan palsu PenjanaKerjaya supaya menyerahkan semula bantuan insentif tersebut kepada PERKESO dengan segera kerana tindakan penguatkuasaan SPRM dalam Op Hire 2.0 masih berterusan,” katanya.

Loading...
Terkini