
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim mengadakan lawatan ke sebuah kilang penemuan sisa peluru di Teluk Panglima Garang, Selangor, hari ini.
Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam hantaran di Facebook berkata, lawatan itu bertujuan bagi membuat pemeriksaan barang rampasan operasi yang diadakan pada 15 Februari lalu menerusi Op Hazard.
“Lawatan berkenaan juga adalah untuk memastikan siasatan yang dijalankan secara telus,” katanya.
Lawatan terbabit turut disertai Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan; Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGA) Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi; Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.
Turut hadir Penolong Pengarah Teknikal/Kepolisan Am PGA, Superintendan Noor Zailan Ahmad; Pegawai Turus Risik/Operasi (PGA), Superintendan Suhaimi Omar dan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi.
Terdahulu media melaporkan, 50 tan peluru dan kelongsong peluru ditemui menerusi Ops Hazard dalam serbuan ke atas di sebuah kilang kitar semula sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.