comscore
Tumpuan :
Nasional

Ops Darat: Ikan larangan bernilai lebih RM13,000 disita

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Jabatan Perikanan Negeri Perak menjalankan operasi pemantauan (OPS Darat) melibatkan lebih 30 premis akuarium di seluruh negeri itu sepanjang tahun ini bagi mengesan penjualan ikan hiasan larangan.

Pengarahnya, Mohd Ghazali A.Manap berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan, 150 ekor ikan larangan bernilai RM13,000 disita.

Jelasnya, operasi itu dijalankan bagi membentuk kesedaran dikalangan orang awam mengenai ancaman ikan-ikan ini kepada ekosistem habitat akuatik di negara ini.

“Kita berharap pemilik ikan yang ada di rumah dapat mengelakkan dari menyimpan ikan itu. Kita khuathir ikan ini membiak dan telurnya akan keluar ke perairan umum.”

“Keadaan ini akan menjadi lebih teruk apabila ikan ini menjadi dominan dan menjejaskan ikan tempatan. Pemilik harus bertanggngjawab,” katanya.

Tambah beliau, ikan yang disita ditempatkan di pusat menyelamat Jabatan perikanan untuk dilupuskan.

Antara ikan yang disita termasuk Pimelodidae (amazon redtail), Geophagus (ikan bongkok), ⁠gulper catfish, ⁠flower horn dan aligator gar.

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Dzolkafly Harun berkata pihaknya juga telah menjalankan program advokasi di rumah ibadat berhubung larangan sama.

“Kita adakan lawatan ke kuil-kuil dan tokong bagi mengedarkan poster ikan larangan yang digunakan bagi tujuan keagamaan, atau kepercayaan. Kita ingatkan bahawa ikan itu tidak boleh dilepaskan di kawasan umum untuk elakkan ancaman.”

“Apa yang kita lakukan sekarang adalah untuk tujuan kesedaran dan tiada tindakan diambil. Namun, jika mereka masih ingkar maka tindakan undang-undang akan diambil,” katanya selepas menyertai Program Kesedaran dan Operasi Pemutihan Ikan Larangan di premis dan kedai akuarium di negeri Perak.

Operasi pemutihan ini dijalankan bertujuan memantau kedai akuarium yang menjalankan aktiviti mengimport, memiliki, menjual, menternak dan mempaner ikan larangan.

Gagal mematuhi, tindakan boleh diambil mengikut Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb., bagi Ikan) 1990, (Pindaan) 2011 dan (Pindaan) 2024, dan Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb., bagi Ikan) 1990.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini