JOHOR BAHRU: Polis menahan 21 individu atas pelbagai kesalahan termasuk sembilan pemandu mabuk menerusi Ops Ambang Tahun Baharu 2025 di beberapa lokasi panas di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi khas itu dijalankan bermula 11 malam sehingga 5 pagi hari ini yang turut menyaksikan 72 kenderaan disita serta 451 saman dikeluarkan.
“Seramai 21 warga tempatan berusia antara 18 tahun hingga 53 tahun yang mana sembilan daripadanya individu memandu di bawah pengaruh alkohol dan kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Sebelas daripada tangkapan pula adalah kes samseng jalanan dan satu tangkapan kes dadah waran tangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Turut disita 72 kenderaan dengan 451 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kumar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang sengaja melakukan kesalahan jalan raya dan kecuaian yang boleh mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.