Tumpuan :
Nasional

Ops Airways: SPRM, JKDM bincang isu tatakelola, integriti

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membincangkan isu tatakelola dan integriti susulan penahanan enam pegawai jabatan itu dalam Ops Airways.

Penahanan pegawai jabatan terbabit berikutan disyaki menerima suapan untuk melepaskan rokok elektronik atau vape yang diseludup melalui pemeriksaan di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi hari ini, memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan pihak JKDM sejurus hasil siasatan diperoleh.

“Ya, saya boleh katakan pertemuan ini akan berlaku tetapi beri ruang penyiasat saya meneruskan siasatan dahulu.

“Selepas hasil siasatan diperoleh, kami akan duduk berbincang berhubung sebarang isu integriti dan tatakelola, serta kami akan mencadangkan sebarang penambahbaikan,” katanya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM menumpaskan sindiket yang menyeludup ratusan ribu rokok elektronik melalui Pusat Kargo KLIA.

Sindiket lari cukai vape berkenaan mengaut keuntungan jutaan ringgit dan disyaki berurusan dengan anggota penguat kuasa di pusat kargo untuk melepaskan konsainmen berkenaan.

Susulan itu, SPRM menahan reman 13 individu, termasuk enam pegawai kastam, yang dipercayai terbabit dalam sindiket lari cukai vape.

Sindiket lari cukai vape setakat ini menyebabkan negara kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta.

Semua penahanan itu dilakukan hasil risikan selama tiga bulan oleh Bahagian Perisikan SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini