Tumpuan :
Nasional

Operator kilang maut, motosikal berlanggar dengan lori

FOTO: PDRM

KLUANG: Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori lima tan yang keluar dari simpang jalan di kilometer (KM) 76, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam, jam 1.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam kejadian itu, mangsa, Mohamad Faiszy Mohd Misraside, 21, yang tidak mempunyai lesen memandu parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, pada jam 1.45 petang, mangsa yang menunggang Yamaha Y15ZR dari arah Simpang Renggam menghala ke Machap.

“Manakala lori berkenaan dipandu lelaki berusia 53 tahun dari sebuah kilang menghala ke Machap.

“Tiba di tempat kejadian, pemandu lori telah keluar simpang dengan membelok ke kiri, mangsa telah melanggar belakang lori berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pemandu lori mempunyai lesen memandu yang sah tidak mengalami kecederaan.

“Ujian air kencing terhadapnya juga didapati negatif dadah. Permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini