KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan Perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas susulan keadaan banjir dan tanah mendap di beberapa kawasan yang menjejaskan operasi tren penumpang.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha, berkata setakat hari ini kawasan yang dikenal pasti tidak selamat untuk perkhidmatan kereta api akibat paras air melebihi tahap rel adalah di KM493 hingga KM490.85 iaitu antara Pasir Mas dan Tanah Merah.
Katanya, perkhidmatan KTM Intercity untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Rakyat Timuran No 27 bagi laluan JB Sentral ke Tumpat dibatalkan mulai malam tadi.
“Hari ini perkhidmatan tren yang turut terjejas adalah Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27 bagi laluan laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral dan Shuttle Timuran laluan Kuala Lipis-Gua Musang-Tumpat akibat ditenggelami banjir.
“Perkhidmatan tren terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang dan kami akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi penumpang yang terkesan dan tidak meneruskan perjalanan, KTMB akan memberikan pemulangan tambang penuh.
Katanya, pemakluman mengenai penutupan laluan serta maklumat terkini akan disalurkan secara berterusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hebahan di media sosial rasmi KTMB.
“Sebagai langkah responsif, KTMB mengaktifkan bilik gerakan banjir serta merta di sektor Pantai Timur untuk memantau pergerakan tren serta memberikan kemas kini situasi yang berlaku.
“Bagaimanapun, langkah persediaan KTMB bukan sahaja tertumpu kepada operasi pergerakan tren ketika banjir, tetapi turut membabitkan pelan bantuan kepada mangsa banjir di stesen KTMB.
“Usaha ini bertujuan memastikan bantuan dapat disalurkan secara sistematik, pantas dan berkesan,” katanya.
Selain itu, Mohd Zain berkata, KTMB menjalankan pemantauan risiko banjir dengan merujuk laporan harian daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Katanya, keutamaan turut diberikan kepada lokasi-lokasi yang kerap terjejas akibat banjir.
“KTMB juga terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan tindakan penyelamatan dan pengurusan insiden dapat dilaksanakan dengan efisien.
“KTMB juga menggerakkan aset-aset kritikal seperti troli rel untuk memantau paras air di sepanjang laluan utama dan lokasi-lokasi yang berisiko tanah runtuh.
“Pelbagai peralatan tambahan untuk kegunaan semasa banjir juga disediakan, termasuk peralatan keselamatan, komunikasi dan bantuan kecemasan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200; layari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau mengikuti saluran media sosial rasmi KTMB untuk informasi terkini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.