comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi tangkapan gajah di Felda Tenggaroh telah dimulakan

JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar serta Taman Negara (PERHILITAN) negeri Johor dan cawangan Mersing akan terus menjalankan kawalan dan pemantauan di kawasan serangan gajah di FELDA Tenggaroh Timur 1, Mersing di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, operasi tangkapan gajah juga telah dimulakan serta-merta bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

Beliau berkata, pemantauan awal menggunakan dron mendapati seekor gajah jantan yang menyerang dua mangsa sudah meninggalkan kawasan kejadian.

Bagaimanapun pihaknya menggesa orang ramai untuk tidak mendekati hidupan liar, sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan sebarang aktiviti hidupan liar yang membahayakan dan memberi ancaman kepada penduduk kepada pihak berkuasa.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa kejadian serangan gajah di FELDA Tenggaroh Timur 1 yang berlaku semalam.

“Seorang meninggal dunia, manakala seorang lagi pekerja, mengalami kecederaan parah serta sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan diharap beliau sembuh,” katanya.

Beliau difahamkan, kedua-dua mangsa telah masuk ke kawasan hutan belukar di belakang sekolah dan mendekati gajah itu sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibantu oleh beberapa individu berhampiran dan dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

Dalam kejadian pagi semalam di belakang kawasan sekolah Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Tenggaroh 5, Mohamad Syafik Yakob, 31 meninggal dunia akibat kecederaan di dada dan leher bahagian kiri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini