Tumpuan :
Nasional

Operasi Taman Tema Sky City dihentikan serta-merta Jumaat lalu

Foto fail NSTP

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah mengarahkan operasi Taman Teman Sky di sini, dihentikan berkuatkuasa Jumaat lalu.

MBSA dalam kenyataan berkata, penutupan dilakukan selepas pengurusan MBSA bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melawat lokasi kejadian.

“Untuk makluman, penutupan sudah dilakukan selepas lawatan turun padang oleh pengurusan tertinggi MBSA diketuai oleh Pemangku Timbalan Datuk Bandar MBSA, Madiyan Baweh; Ahli Majlis MBSA, Maizan Abdul Majid, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 31 Januari lalu jam 5.30 petang.

“Pihak i-City sudah diminta untuk menghentikan pengoperasian Sky City secara serta-merta dan pemantauan secara berterusan dilakukan oleh pihak MBSA,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Tourism Selangor akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengukuhkan usaha pemantauan dan memastikan semua tapak pelancongan mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

Tourism Selangor dalam kenyataan berkata, pihaknya komited dalam menyediakan maklumat pelancongan yang tepat dan mempromosi produk pelancongan berlesen melalui laman web rasmi Tourism Selangor di visitselangor2025.my atau melalui platform media sosial di @TourismSelangor.

“Keselamatan pengunjung kekal menjadi keutamaan dalam industri pelancongan Selangor.

“Tourism Selangor mengambil maklum tentang insiden di Taman Tema SkyCity dan akan memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pelancong.

“Dengan usaha kolektif daripada pihak berkuasa, pengusaha taman tema dan pengunjung, sektor pelancongan Selangor akan terus berkembang maju terutamanya dalam meningkatkan keselamatan dan keselesaan untuk semua pelancong,” kata kenyataan itu.

Semalam media melaporkan, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari akan memanggil semula pihak pengurusan taman tema terbabit.

Malah, operasi taman tema dihentikan serta merta sehingga operator terbabit dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh MBSA.

Dalam kejadian pada Rabu 29 Januari lalu, seorang pengunjung cedera selepas sebuah pelampung permainan gelungsur air kaca di taman tema itu dipercayai terjatuh dan menimpa mangsa.

Mangsa, seorang wanita tempatan berumur 20an yang cedera menerima rawatan di sebuah poliklinik di Seksyen 16, di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini