comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi SAR mangsa kepala air libat pencarian tebing, jeram sejauh 8km

 

Foto : NSTP


CHUKAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu hari ini akan melibatkan pencarian di tebing kiri dan kanan jeram di sepanjang lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata pencarian itu akan meliputi kawasan tebing dan jeram sejauh lapan kilometer.

“Setakat pukul 10 malam tadi, tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.”

Beliau berkata pihaknya juga percaya lokasi mangsa adalah jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras.

Pihaknya juga akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM, selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan dari pihak luar.

“Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” katanya. 

Operasi SAR yang dijangka bermula jam 9 pagi ini akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada selain bergantung sepenuhnya kepada keadaan faktor cuaca.

Loading...
Terkini