comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Operasi SAR diperluaskan sehingga 35km hingga muara Sungai Kemaman

 

KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan mangsa yang dikhuatiri lemas akibat fenomena kepala air di Jeram Mawar, Sungai Air Putih di sini diperluaskan sehingga 35 kilometer ke muara Sungai Kemaman.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Hanyan Ramlam, operasi SAR bermula jam 9.00 pagi tadi.

Seramai 163 anggota daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit K-9, RELA dan NGO terlibat dalam operasi itu.

Operasi turut dibantu penduduk kampung yang tahu selok-belok aliran sungai.

“Kita minta penduduk yang membantu sentiasa melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa objek atau bau di lokasi SAR,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Terengganu, Hassan ‘As’ari berkata, pihaknya belum mendapat sebarang petunjuk dalam mencari mangsa yang hilang.

Begitu pun tegasnya, pihaknya akan berusaha sedaya mungkin bagi mencari mangsa.

“Operasi dibahagikan kepada tiga sektor pencarian sepanjang 35 kilometer,” katanya.

Pasukan Rescue Bencana Malaysia turut turun padang membantu SAR dengan menggunakan dron dan beberapa buah bot.

10 orang dikhuatiri terkorban dalam tragedi yang berlaku pada kelmarin (Sabtu).

Setakat ini dua mangsa telah ditemukan iaitu Azizah Eiyi, 40 tahun dan anak keempatnya Muhammad Haikal Zulqarnain Karim, 11 tahun dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang yang ditemui kira-kira jam 12.45 tengah hari dan 5.00 petang semalam.

Kedua-dua mayat kini ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.

Manakala 8 lagi mangsa lain yang dikategorikan sebagai masih hilang ialah suami mangsa, Karim Abdullah, 39 tahun serta enam  anak mereka iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim,14; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziqah Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim yang berusia empat tahun.

Seorang lagi mangsa yang dipercayai hilang dan turut menyertai keluarga itu berkelah di jeram tersebut ialah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Salman, 24 tahun yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Dipercayai Karim yang merupakan pemandu jengkaut di hutan Air Putih, mahir dengan selok-belok kawasan itu yang sememangnya sukar diakses menggunakan kereta.

Dalam perkembangan lain, penduduk di Kampung Air Putih ketika ditemui amat terkejut dengan kejadian itu.

Jelas mereka, tidak pernah sebelum ini berlaku kejadian kepala air sehingga meragut nyawa.

Loading...
Terkini