Tumpuan :
Nasional

Operasi SAR 3 nelayan hilang disambung pagi ini

CHUKAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan yang dikhuatiri hilang ketika keluar menangkap ikan sejak Ahad lalu disambung pagi ini.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu membabitkan dua bot Maritim dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurutnya, radius pencarian hari ini diperluaskan sekitar 840 batu persegi membabitkan pencarian di laut termasuk udara.

“Kita akan mendapat bantuan sebuah pesawat jenis Bombardier daripada Maritim Malaysia yang akan melakukan pencarian melalui udara.

“Operasi pencarian pada hari ini juga akan dilakukan di sekitar kawasan perairan Kuantan sehingga ke perairan Kerteh Kemaman.

“Pada operasi pencarian yang dilakukan membabitkan kawasan sehingga 30 batu nautika di kawasan perairan Kemaman semalam, kita tidak menemui sebarang petunjuk atau hasil,” katanya.

Mokhtar Yusof, 69, dan anaknya, Mohd Syukri Mokhtar, 46, dan adik kepada Mokhtar, Mohd Nasir Yusof, 46, dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut mencandat sotong sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa pada jam 4.44 petang semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini