GEORGETOWN: Operasi pembenihan awan di Pulau Pinang yang dijadualkan bermula hari ini dan esok menyasarkan hujan sebanyak mungkin di kawasan tadahan air (KTA) di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang, dekat sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K.Pathmanathan, berkata operasi itu akan diarah dan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta dikendalikan pasukan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau memaklumkan, dalam tempoh 1 Februari hingga 27 Februari lalu pihaknya hanya merekodkan taburan hujan masing-masing 45 milimeter (mm)di KTA Empangan Air Itam dan 71.5mm di KTA Teluk Bahang.
“Kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 37 peratus hari ini berbanding 68.9 peratus pada 1 Januari lalu iaitu menyusut sebanyak 31.9 peratusmanakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang ketika ini 79.6 peratus berbanding 95.4 peratus dalam tempoh sama.
“Oleh itu, sebarang jumlah hujan akan berguna kerana kami berusaha untuk mempertahankan rizab air mentah empangan ini sehingga musim hujan akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pathmanathan berkata, berdasarkan pemberitahuan rasmi daripada Badan Kawal Selia Bekalan Air Pulau Pinang (BKSA) penjadualan dan pelaksanaan operasi pembenihan awan di negeri tersebut tertakluk kepada keadaan atmosfera dan awan.
Sebelum ini, media melaporkan kapasiti efektif Empangan Air Itam terus mengalami penyusutan membimbangkan dengan ia dijangka dapat bertahan dalam tempoh 32 hari.
Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, setakat hari ini, paras sungai Sungai Muda ialah 2.23 meter dengan PBAPP sedang mengabstrak air mentah dari sungai berkenaan untuk menyokong pengeluaran air optimum di Loji Rawatan Air Sungai Dua.
“Sementara itu, kapasiti Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan masing-masing berada pada kapasiti 63.2 peratus dan 100 peratus,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.