KOTA BHARU: Operasi pemadaman yang membabitkan pusat pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini hampir selesai memasuki hari kelima.
Berbaki lima peratus sahaja lagi, operasi pemadaman yang bermula petang Ahad lalu itu dijangka selesai hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, kerja mengorek sisa terbakar masih dibuat menggunakan dua jengkaut bagi memastikan tiada bara di lapisan bawah.
“Untuk hari kelima hari ini, hanya 18 anggota dari BBP Pengkalan Chepa yang bertugas memandangkan operasi sudah hampir tamat.
“Cuma memandangkan sisa pembakaran itu adalah daripada bahan yang mudah terbakar, kerja ‘overhaul’ masih giat dijalankan dengan bantuan dua jengkaut.
“Hanya berbaki lima peratus sahaja lagi dan kita jangka operasi pemadaman dapat ditamatkan hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian jam 6 petang Ahad lalu, lokasi seluas 0.68 hektar itu terbakar membabitkan hampir 10,000 tan barangan kitar semula yang disusun mencecah lima meter tinggi.
Beberapa agensi lain turut memberi bantuan termasuk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan pasukan penyelamat kebakaran dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.