Oleh Siti Khadijah Jaafar
SHAH ALAM: Operasi hari kedua tragedi pesawat terhempas di Elmina, diteruskan dengan pencarian fasa ketiga bagi menjejaki kotak hitam pesawat malang itu.
Operasi membabitkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan agensi penguatkuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang dihubungi Buletin TV3 berkata operasi hari ini tertumpu kepada pencarian kotak hitam selepas perakam suara kokpit (CVR) iaitu sebahagian daripada kotak hitam milik pesawat ditemukan jam 10.20 malam tadi.
Artikel berkaitan : Kotak perakam suara kokpit pesawat ditemui
“Satu lagi komponen iaitu perakam data penerbangan (FDR) belum ditemui dan operasi pencarian giat dijalankan. Saya juga akan mengadakan sidang media kira-kira jam 9 pagi ini untuk perkembangan lanjut berhubung insiden pesawat berkenaan. Apapun tunggu sidang media nanti,” katanya.
Pencarian bagi fasa pertama dan kedua selesai malam tadi dan kesemua 10 mayat mangsa berserta lima bungkusan cebisan badan telah di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
Dalam insiden pada jam 2.50 petang semalam, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan itu terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuh Raya Gutrie.
Artikel berkaitan : 10 terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina
Lapan yang maut adalah penumpang dan kru pesawat, manakala dua lagi mangsa masing-masing adalah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.
Dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu.
Pesawat berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang tetapi terhempas dua minit sebelum mendarat.