Oleh : Mohd Ishak Abdilah Ngah
KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas lapan lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kampung Air Putih di sini semalam disambung pada jam 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Hanyan Ramlan berkata pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada penduduk tempatan.
Menurut Hanyan, SAR akan dilakukan dengan fokus pada bahagian tebing kiri dan kanan jeram sejauh lapan kilometer.
Tambahnya, pasukan penyelamat percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras.
Dalam operasi pada hari pertama semalam, 50 orang anggota daripada pasukan polis, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat.
Operasi terpaksa dihentikan pada jam 6 petang atas faktor cuaca.
Lapan mangsa yang dikategorikan sebagai masih hilang ialah Karim Abdullah 39 tahun serta enam anaknya iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim,14; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziqah Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim empat tahun serta tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Salman, 24 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor.
Dua mangsa yang telah ditemukan adalah isteri Karim, Azizah Eiyi, 40 tahun dan anak keempat mereka, Muhammad Haikal Zulqarnain, 11 tahun. Mereka berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan ditemui pada kira-kira jam 12.45 tengahari dan 5.00 petang semalam.