comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Operasi khas kenderaan perdagangan di seluruh negara, minggu depan

 

KUALA LUMPUR: Operasi  besar-besaran yang menyasarkan kenderaan perdagangan akan diadakan serentak di seluruh negara bermula minggu depan.

Ia susulan kemalangan membabitkan 14 kenderaan yang meragut dua nyawa di Putrajaya, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, operasi berkenaan akan dijalankan pihaknya dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain.

“Kita (JPJ) sudah mengeluarkan arahan kepada pengarah di setiap negeri untuk menjalankan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan berkaitan lebihan muatan.

“Operasi akan diketuai oleh setiap Pengarah JPJ negeri dan Bahagian Penguatkuasa di ibu pejabat juga diarah membuat pemantauan serta menyediakan laporan,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar (Timur) di sini, malam tadi.

 

Beliau berkata, laporan operasi berkenaan akan diserahkan kepada pengurusan tertinggi JPJ dan Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lanjut.

 

Dalam kejadian jam 10.20 pagi Rabu lalu, dua penunggang motosikal maut, manakala enam cedera selepas sebuah treler muatan batu pasir merempuh 14 kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong berdekatan susur keluar Jalan Persiaran Timur, Putrajaya.

Pemandu treler terbabit yang kini direman akan dihadapkan ke mahkamah, Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini