TOKYO: Japan Airlines (JAL) pada Khamis mengesahkan telah menjadi sasaran serangan siber yang berkemungkinan besar memberi kesan kepada operasi penerbangan syarikat tersebut.
“Kami mengesahkan bahawa kami telah diserang melalui serangan siber dan sedang menangani situasi ini,” kata jurucakap Japan Airlines.
Beliau turut memaklumkan bahawa serangan itu berkemungkinan memberi kesan terhadap operasi penerbangan pada masa akan datang.”
“Berpotensi untuk berlaku kelewatan dan pembatalan penerbangan,” tambah jurucakap tersebut, namun syarikat penerbangan itu masih belum dapat memberikan butiran mengenai gangguan spesifik.
Japan Airlines, syarikat penerbangan kedua terbesar Jepun selepas All Nippon Airways (ANA), menjadi mangsa terbaharu dalam siri serangan siber yang menyasarkan syarikat-syarikat di Jepun.
Pada tahun 2022, kerajaan Jepun melaporkan serangan siber terhadap pembekal Toyota, yang menyebabkan pengeluar automotif terkemuka itu menghentikan operasi di kilang domestik selama sehari.
Baru-baru ini, pada Jun lalu, laman web perkongsian video popular Jepun, Niconico, terpaksa menghentikan perkhidmatannya akibat serangan siber berskala besar, menurut operatornya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.