comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Operasi haji lancar meskipun berdepan cabaran

 

SEPANG: Operasi haji tahun ini yang melibatkan kuota penuh 31,600 jemaah haji Malaysia buat pertama kali dalam tempoh empat tahun, berjalan lancar meskipun berdepan beberapa cabaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara cabaran dihadapi jemaah haji tahun ini ialah cuaca panas menjangkau 38 hingga 48 darjah celsius dan jumlah jemaah mencecah hampir dua juta orang mengerjakan haji di Tanah Suci.

Beliau bersyukur apabila kumpulan jemaah haji Malaysia mendapat pengiktirafan Arab Saudi sebagai jemaah haji berdisiplin dan mempunyai sikap baik selain berilmu.

Foto NSTP

“Kerajaan Arab Saudi juga sekali lagi mengiktiraf Tabung Haji (TH) apabila TH menerima Anugerah Labbaitom bagi Kategori Kepuasan Tertinggi Dalam Perkhidmatan Yang Disediakan Oleh Pejabat Urusan Haji, yang saya terima daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Tawfiq Fawzan Al-Rabiah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui semasa menyambut kepulangan 350 jemaah haji Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Foto NSTP

Kumpulan jemaah haji itu tiba 9.55 malam menerusi penerbangan Saudia Airlines SV5610 yang berlepas dari Jeddah pada jam 8 pagi (waktu Arab Saudi).

Sementara itu, Na’im berkata 70 pesakit masih dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah dan Hospital Arab Saudi, manakala sembilan jemaah haji meninggal dunia di Tanah Suci setakat hari ini.

Beliau bersama pengurusan kanan TH mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga jemaah haji yang meninggal dunia.

Jelasnya, pihak TH akan mengadakan mesyuarat penutupan dengan pelbagai kementerian dan agensi penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi bagi menilai semula tahap perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan pada Musim Haji tahun ini.

Antara isu akan dibincangkan ialah masalah berkaitan kemudahan di Mina, selain maklum balas diterima daripada jemaah haji, yang akan turut dibawa ke meja perbincangan.

Foto NSTP

Sebanyak 98 penerbangan menggunakan pesawat Saudia dan AMAL by Malaysia Airlines akan membawa pulang semua jemaah dan petugas haji secara berperingkat.

Penerbangan terakhir dijangka berlepas pada 31 Julai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdul Aziz di Madinah.

Loading...
Terkini