ALOR SETAR: Berikutan sambutan menggalakkan daripada pelancong, perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi pada waktu malam akan dimulakan hari ini.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, setakat ini 335 tiket sudah terjual untuk pelayaran sebuah feri pada malam ini di Terminal Feri Kuala Perlis.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya akan membuat penambahan feri lagi sekiranya feri jam 8 malam ini penuh.
“Begitu juga perjalanan tambahan pada esok hari turut disediakan pada jam 8 malam.
“Tambahan feri pada waktu malam ini adalah untuk menyokong sambutan yang amat menggalakkan pelancong ke Langkawi sempena cuti persekolahan yang bermula sejak 20 Disember lalu yang menyaksikan Pulau Langkawi terus menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Baharin berkata, perjalanan feri waktu malam diaktifkan sebagai sokongan terhadap kempen Kerajaan Negeri Kedah bagi Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Beliau berkata, pihaknya sedar, dengan menyediakan lebih banyak perjalanan feri ke Langkawi akan memberi lebih ruang kepada pelancong memilih Langkawi sebagai pilihan utama.
“Kami juga mendapat permintaan daripada agensi pelancongan di Thailand untuk membawa masuk lebih ramai pelancong ke Langkawi melalui Satun dan buat masa ini alur pelayaran di Satun juga mengalami masalah mendapan lumpur seperti mana yang berlaku di alur pelayaran Kuala Perlis.
“Buat masa ini, perjalanan feri waktu malam hanya difokuskan bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis disebabkan Terminal Penumpang Kuala Kedah masih dalam pembinaan dan hanya boleh menampung sebuah feri pada satu-satu masa.
“Kami difahamkan bermula awal Mac tahun hadapan, kerja-kerja pengerukan alur pelayaran akan selesai,” katanya.
Baharin berkata, pihaknya percaya perjalanan feri yang lebih kerap seawal jam 7 pagi dan berakhir jam 7 malam boleh merancakkan kembali industri pelancongan Langkawi setanding negara jiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.