comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi feri Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah dihentikan berikutan ombak tinggi

Ombak setinggi lima meter menyebabkan semua feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Kedah dihentikan hari ini. – FOTO: Ihsan Ferrylines Ventures

ALOR SETAR: Operasi perjalanan feri penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi dan sebaliknya dihentikan hari ini berikutan ombak setinggi lima meter yang melanda hari ini.

Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, seramai 1,791 penumpang terbabit dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata, ia membabitkan perjalanan feri dari Langkawi pada jam 10.30 pagi (541 penumpang), 650 penumpang pada jam 12 tengahari, 548 penumpang pada jam 1 petang dan 415 penumpang pada jam 1.30 tengah hari.

“Bagi perjalanan feri dari Kuala Kedah pula membabitkan seramai 295 penumpang pada jam 9.30 pagi, 547 penumpang pada jam 10.30 pagi, 40 penumpang pada jam 11.30 pagi, 190 penumpang pada jam 12 tengahari, 290 penumpang pada jam 1.30 tengah hari dan 423 penumpang pada jam 2.30 petang,” katanya.

Baharin berkata, penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan.

Beliau berkata, feri tambahan akan disediakan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis tertakluk kepada keupayan terminal tersebut menerima jumlah penumpang serta paras air yang selamat.

Media sebelum ini melaporkan, tiga feri dari Kuala Kedah ke Langkawi semalam terpaksa berpatah balik berikutan ombak kuat dan ribut.

Selain itu, sebuah lagi feri iaitu dari Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 2.30 petang yang membawa 567 penumpang dilaporkan tersangkut di tebing pasir kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Kuala Perlis.

Bagaimanapun, feri dari Kuala Perlis itu meneruskan perjalanan malam tadi dan selamat tiba di Langkawi pada jam 10.40 malam tadi.

Loading...
Terkini