Oleh: Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Semua operasi feri laluan Kuala Kedah ke Langkawi dan sebaliknya dihentikan bagi hari ketiga susulan cuaca buruk dan laut bergelora.
Sebuah feri yang telah bertolak pada jam 8.30 pagi tadi juga terpaksa berpatah balik ke Langkawi berikutan ombak tinggi.
Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata seramai 3,513 penumpang terjejas berikutan pemberhentian operasi feri ini.
“Pemberhentikan operasi feri dilakukan disebabkan angin bertiup berkelajuan 40 – 50 km/h dan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Kuala Kedah – Langkawi yang boleh membahayakan keselamatan penumpang dan anak kapal.
“Sebuah feri yang bertolak daripada Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 8.30 pagi yang membawa 589 penumpang terpaksa berpatah balik hari ini.
“Pembatalan feri bagi laluan Langkawi – Kuala Kedah – Langkawi melibatkan trip bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
“Jumlah penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah adalah 2472 orang, manakala dari Kuala Kedah ke Langkawi pula 1041 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, lencongan perjalanan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis akan dilakukan berdasarkan kepada keupayaan terminal berkenaan menerima jumlah feri pada satu-satu masa berdasarkan kelulusan Jabatan Laut Malaysia.
Penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.