KLUANG: Operasi mencari seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas memasuki kebun kelapa sawit di Batu 17 Jalan Kluang–Kahang dekat sini, semalam masih buntu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hingga petang ini usaha mengesan Lee Siew Hat, 73, yang tinggal di Taman Kahang Baru, Kahang gagal menemui sebarang petunjuk.
Operasi mencari bermula pagi tadi disertai 30 pegawai dan anggota polis, tiga Unit Anjing Pengesan (K9), 18 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), lapan anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Bomba Sukarela Kahang.
Tumpuan percarian bermula dari pintu pagar yang merekodkan mangsa keluar sehingga ke laluan Sungai Kahang dengan jarak tujuh kilometer dan dari pintu pagar Pejabat Sungai Kahang sehingga ke laluan Sungai Kahang dengan jarak enam kilometer.
Terdahulu, pengawal keselamatan di kebun tersebut merekodkan motosikal milik mangsa masuk pada 9.12 pagi dan keluar pada 11.13 pagi.
Bagaimanapun, isteri mangsa membuat laporan polis pada 4.30 petang berikutan suaminya tidak pulang sejak pagi selepas keluar untuk memeriksa kebun kelapa sawit itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.