Tumpuan :
Nasional

Operasi cari 2 nelayan hilang di Pulau Undan ditamatkan

Hari terakhir operasi mencari dan menyelamat oleh agensi Maritim Malaysia, hari ini. FOTO: Maritim Malaysia

MELAKA: Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dua nelayan yang dilaporkan hilang di sekitar kawasan Pulau Undan, di sini ditamatkan jam 7.15 malam.

Ia susulan tiada petunjuk baharu diperoleh meskipun pelbagai usaha dilaksanakan oleh agensi penyelamat diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sejak empat hari lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz, berkata pihaknya akan terus memantau kawasan insiden melalui rondaan berkala yang dijalankan oleh aset APMM.

“Sekiranya terdapat sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan insiden, tindakan segera akan diambil,” katanya dalam kenyataan, lewat petang ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Komander Maritim NorrimiHassan berkata, seramai 58 pegawai dan anggota bersama enam aset laut dan sebuah aset udara digerakkan sepanjang empat hari operasi pencarian.

Katanya, kawasan pencarian meliputi lebih 4,357 kilometer persegi dari sempadan Muar hingga ke Tanjung Tuan, namun tiada petunjuk positif ditemui.

“Susulan penamatan operasi berkenaan, APMM merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta semua pihak yang terbabit dalam operasi ini,” katanya.

Sebarang maklumat baharu berhubung insiden ini boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini