comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi besar-besaran bersih longkang, parit di Johor

Foto Fail: Banjir kilat yang melanda bandar Kota tinggi menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air namun masih boleh dilalui kenderaan ringan. Gambar kecil : Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU: Operasi besar-besaran membersih longkang dan parit di seluruh negeri ini akan digerakkan, bermula di Johor Bahru, satu inisiatif yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, banjir kilat yang sering berlaku, terutama di kawasan bandar, biasanya berpunca daripada longkang, sistem perparitan dan saliran yang tidak diselenggara dengan baik.

“Perkara ini dibincangkan semasa perjumpaan bersama semua agensi terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah serta syarikat-syarikat konsesi.

“Mereka akan berjumpa dengan saya setiap bulan bagi melaporkan perkembangan operasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menggesa semua pihak memainkan peranan dan memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan.

Beliau juga mengingatkan pihak bertanggungjawab mengambil serius setiap aduan yang diterima supaya masalah seperti longkang tersumbat, rosak serta penuh dengan semak samun dan sampah sarap diselesaikan dengan segera.

“Saya juga minta semua Bangsa Johor supaya jagalah kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata terutama ke dalam longkang dan parit.

“Semua komuniti, masyarakat, bersama-samalah dengan kerajaan negeri supaya kita dapat membangunkan Johor yang bersih dan selesa demi kemaslahatan bersama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini