Tumpuan :
Nasional

Operasi beras putih tempatan dilancar


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) mulai hari ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada.

KPKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, OP BPT akan memberi fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi (komersial) dan pemborong beras. 

“KPKM memandang serius video yang ditularkan berkaitan dakwaan penipuan oleh pemborong beras tempatan yang membungkus semula kampit beras tempatan menjadi bungkusan kampit beras import yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan. 

“KPKM ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar tidak sesekali melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label BPT kepada beras putih import (BPI) dan dijual pada harga jualan runcit BPI,” menurut kenyataan itu.

KPKM berkata, penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

KPKM melalui KPB telah berkolaborasi secara strategik bersama Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui OP JAMIN yang dilancarkan pada 7 Julai lalu. 

Sehingga 10 Ogos lalu, sebanyak 925 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan kestabilan bekalan BPT sentiasa terjamin.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta 522 boleh dikenakan penalti.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM50,000,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan beras diminta mengemukakan aduan rasmi bersama butiran dan maklumat lengkap melalui portal aduan KPB https://skpb.kpkm.gov.my/adu; e-mel rasmi [email protected]; atau hubungi Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183.

Loading...
Terkini