comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Operasi balai polis berjalan seperti biasa walaupun pintu pagar ditutup – KPN

 


KUALA LUMPUR: Arahan penutupan pintu pagar balai polis di seluruh negara selepas 10 malam tidak akan menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat apabila ia dilaksanakan.

Arahan itu akan dilaksanakan selepas prosedur operasi standard (SOP) arahan itu disiapkan oleh Jabatan Pengurusan, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pelaksanaan arahan itu ketika ini tertumpu di balai yang hanya mempunyai kekuatan penugasan dua anggota pada waktu malam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

“Seorang anggota bertugas sebagai prowler (balai pengawal) manakala seorang lagi bertugas di bahagian inkuiri (kaunter laporan polis).

“Secara amnya penugasan dua anggota ini wujud di balai polis di kawasan terpencil dan luar bandar, namun ia juga turut merisikokan keselamatan anggota terhadap sebarang ancaman seperti yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, penutupan pintu pagar balai polis bukannya bermaksud sesebuah balai itu ditutup, namun ia tetap beroperasi secara normal dalam memudahkan proses penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“SOP pelaksanaan arahan ini akan dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Seri Azmi Kassim, sebelum dilaksanakan secara berperingkat di balai-balai, terutamanya kawasan terpencil dan luar bandar.

“Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution, kita seharusnya mengimbangi bahawa balai polis adalah tempat rakyat mengadu dan pada masa sama balai polis turut menjadi sasaran ancaman, jadi kita seimbangkan antara dua keperluan itu,” katanya.

Beliau turut mengulas bahawa sebarang proses pengaduan dan membuat laporan di balai polis berjalan secara normal.

“Orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan lapang yang tidak mengganggu kelancaran lalu-lintas tidak jauh dari kawasan balai polis ketika berurusan selepas 10 malam.

“Secara normal, anggota yang bertugas di Pos Pengawal Balai Polis akan merekodkan tujuan kehadiran ke balai polis sebelum dibenarkan masuk untuk berurusan dengan anggota inkuiri,” katanya.

Terdahulu media melaporkan semua balai polis di seluruh negara diarah menutup pintu pagar premis itu pada 10 malam, susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, ia adalah antara arahan yang dikeluarkan dalam usaha memperketat keselamatan dan bersiap siaga atas sebarang kemungkinan pencerobohan atau tindakan luar jangka ke atas balai polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini