comscore
Tumpuan :
Nasional

OPA di Kelantan tertumpu di 7 lokaliti, tingkatkan paras air semasa di Sungai Kelantan

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

SHAH ALAM: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan tertumpu  di sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Irai dengan campuran air garam dilepaskan pada ketinggian antara 5,000 hingga 7,000 kaki.

Ia bertujuan meningkatkan paras air semasa sungai Kelantan yang menjadi sumber utama pengairan kawasan penanaman padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kata, hari pertama pelaksanaan OPQ kelmarin, menghasilkan hujan di zon selatan Kelantan, namun operasi didapati kurang berkesan semalam, susulan tiada pembentukan awan bersesuaian, menyebabkan tiada hujan direkodkan.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum menyertai OPA di tujuh lokaliti di Kelantan menggunakan Kapal Pengangkut C130H di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Datuk Seri Mohamad turut memaklumkan, sekiranya OPA ini tidak berkesan untuk mengatasi masalah kemarau di Kelantan, beberapa penyelesaian jangka pendek akan dilaksanakan.

Ia termasuk proses meletupkan atau memecahkan batu hamparan berhampiran Rumah Pam Kemubu, Kota Bharu.

Proses berkenaan bagi memberi laluan kepada proses penjajaran air ke pam Kemubu dengan harapan OPA boleh menghasilkan hujan dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan paras air di kawasan pam bagi operasi sedia ada di Pam Kemubu I dan II.

Selain itu, telaga tiub akan dipasang di 280 lokasi dikenal pasti di sekitar kawasan KADA, sebagai alternatif mengatasi musim kemarau di Kelantan.

Taburan hujan rendah dicatatkan bermula Februari hingga April lalu, menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta menggangu operasi pam di seluruh kawasan KADA, bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya,

Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.9 meter  namun paras air sungai berkenaan pada bacaan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April lalu, seperti direkodkan KADA.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, negara akan berdepan kekurangan kira-kira empat peratus daripada keseluruhan jumlah pengeluaran beras, jika proses penanaman padi sekitar Kelantan, gagal dibuat ekoran musim kemarau berpanjangan.

Selain itu, katanya, proses penanaman padi di  beberapa negeri lain setakat ini, belum berada di tahap mencemaskan dengan taburan hujan direkodkan pada kadar positif di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Semalam hujan lebat di sekitar Bagan Serai, Perak dan saya berada di sekitar sana ketika itu. Saya nampak memang berlaku catuan air di Bukit Merah, Perak ketika ini, tetapi dengan hujan lebat dua malam berturut-turut, kita harap ia mampu meningkatkan paras air di situ,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini