
Oleh: Siti Khadijah Jaafar
SEGAMAT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu, termasuk pemilik syarikat dan pegawai dagang, kerana disyaki merasuah penguat kuasa dalam memproses serta melupus sisa elektrik dan elektronik (e-waste) secara tidak dibenarkan.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata tangkapan itu hasil operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), membabitkan 12 premis kilang di sekitar Selangor dan Johor, hari ini.
“Premis berkenaan disyaki memproses serta melupus bahan mentah tidak dibenarkan, termasuk gentian kaca, plastik, besi dan logam.
“Sebanyak 16 suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan di sekitar Selangor dan Segamat antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari menerusi Op X,” katanya.
Menurutnya, ada antara suspek yang juga pemilik syarikat menggunakan pegawai dagang yang melanggar syarat permohonan serta membayar wang rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi perniagaan mereka.
Serbuan dilakukan berdasarkan hasil risikan kira-kira tiga bulan, sebelum kesemua suspek dibawa ke SPRM Melaka petang tadi dan ditahan selepas keterangan mereka dirakam.
“Tangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM, JIM dan JAS dalam memerangi rasuah, khususnya dalam sektor penguatkuasaan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” tegasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, dalam operasi bersepadu pagi tadi, seramai 420 pekerja asing berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Operasi itu dijalankan membabitkan 10 kilang di sekitar Segamat turut menahan lima warga tempatan kerana didapati menggaji pekerja tanpa permit sah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.