KOTA BHARU: Seramai 182 pemandu warga asing dengan 163 kenderaan dikesan mempunyai saman tertunggak, sejak penguatkuasaan Op Tunggak bermula 1 Januari lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, angka itu direkodkan setakat 24 Januari lalu dan dalam tempoh itu juga sebanyak 172 kenderaan asing diambil tindakan membabitkan 619 notis JPJ (P) 22 yang dikeluarkan.
Beliau berkata, bayaran saman yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM425,104 membabitkan 332 saman tertunggak yang sudah diselesaikan.
“Dalam operasi itu, sebanyak 16 van Thailand masih disita sehingga kini dengan kesalahan paling banyak adalah membabitkan salahguna Permit Edaran Antarabangsa (ICP).
“Ada sebuah van Thailand yang ditahan di Perlis dan dari semakan yang dibuat, didapati terdapat 85 tunggakan saman yang dikesan dilakukan sejak tiga tahun lalu dan pemiliknya sudah menyelesaikan semua tunggakan bernilai RM25,500.
“Selain salahguna ICP, ada pelbagai kesalahan lain yang dikesan contohnya penggunaan cermin gelap. Walau ia dibenarkan di negara mereka (Thailand), tapi bila masuk ke negara kita, perlu patuhi undang-undang di sini,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan JPJ akan menguatkuasakan Op Tunggak untuk mengesan kenderaan warga asing yang culas membayar tunggakan saman membabitkan empat negeri yang bersempadan iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak.
Aedy Fadly berkata, ICP hanya dikeluarkan kepada kenderaan persendirian dalam tempoh 90 hari berada dalam negara ini sebaliknya ada pemandu warga asing menyalahgunakan dengan membawa penumpang.
Beliau berkata, kesalahan itu tidak boleh dikompromi kerana jelas melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) selain boleh mendatangkan kesan buruk kepada banyak pihak berikutan perlindungan insuran.
Katanya lagi, selain membawa penumpang sama ada warga asing atau tempatan, van Thailand yang tiada ICP juga mengangkut pekerja warga mereka yang bekerja di pelbagai premis terutama kedai makan.
Terdahulu, beliau hadir di JPJ Kelantan di sini sempena Perhimpunan Setia Khas JPJ Negeri Kelantan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi dan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.