KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot di perairan Sandakan sekaligus menggagalkan cubaan menyeludup masuk 4,200 telur penyu, malam tadi.
Menerusi Op Taring Gelora, jam 7.30 malam itu, seorang lelaki warga Filipina berusia 57 tahun ditahan bersama bot yang sarat dengan muatan telur penyu.
Semua telur penyu itu dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini dari Filipina.
Nilai rampasan telur penyu dianggarkan berjumlah RM8,400, manakala nilai keseluruhan rampasan bot dan telur penyu berkenaan berjumlah RM27,400.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya.