Tumpuan :
Nasional

Op Taring Bravo 1: Minyak bersubsidi bernilai hampir RM1 juta berjaya dirampas

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Usaha penyeludupan minyak bersubsidi bernilai hampir RM1 juta di Sandakan gagal setelah berjaya dikesan pihak berkuasa.

Polis dalam satu kenyataan, berkata rampasan itu dibuat Pasukan Cawangan Risik/URT Kompeni C Batalion 20 PGA Beluran dalam Op Taring Bravo 1 di Kampung Ulu Dusun, Sandakan.

Operasi dijalankan selepas pasukan PGA mengekori sebuah lori yang mencurigakan dari sebuah stesen minyak di Pekan Beluran sebelum ke stor penyimpanan di kampung berkenaan.

Hasil serbuan mendapati dua suspek terlibat dalam aktiviti penyimpanan minyak subsidi tanpa permit sah.

Sebanyak 37,000 liter minyak diesel dan petrol dirampas bersama tiga buah lori, sebuah Toyota Hilux serta pelbagai peralatan penyimpanan seperti tangki, drum, hos dan pam air.

Turut disita dua unit gudang yang dijadikan lokasi penyimpanan minyak bersubsidi dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM946,793.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Kenyataan sama turut memaklumkan, usaha membanteras jenayah penyeludupan akan terus dipergiatkan bagi menjaga keselamatan dan ketelusan penggunaan subsidi negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini