Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Op Star: 8 individu ditahan, rasuah penguat kuasa lindungi perniagaan guna lesen ‘Ali Baba’


Oleh: Ing Boon Seng & Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Lapan individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyogok penguat kuasa sebagai balasan bagi melindungi aktiviti perniagaan warga asing.

Ada antara mereka menggunakan lesen yang di ‘Ali Baba’ warga tempatan untuk beroperasi di sekitar ibu negara.

Operasi dijalankan SPRM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tertumpu di sekitar kawasan segi tiga emas Bukit Bintang.

Kawasan ini dianggap sebagai lubuk emas kerana sering menjadi tumpuan warga kota selain warga asing termasuk pelancong.

Maka tidak hairan, segelintir warga tempatan yang memiliki lesen di kawasan ini sanggup mengali-babakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing bagi mengaut untung atas angin.

Sejak enam bulan lalu, Bahagian Perisikan SPRM mendapati kesemua suspek yang bertindak sebagai penjaga premis ini membayar antara RM200 hingga RM1,000 kepada beberapa penguat kuasa pihak berkuasa tempatan.

Ini bagi membolehkan aktiviti perniagaan mereka dapat berjalan tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

Habuan juga sebagai balasan bagi membocorkan sebarang maklumat operasi penguatkuasaan kepada mereka.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Muzammer Jamaluddin tidak menolak bahawa ada anggota penguat kuasanya cuba disogok ketika melaksanakan tugas.

Justeru pemakaian jaket dilengkapi kamera badan, terutama ketika menjalankan operasi amat digalakkan bagi mengelakkan berlakunya rasuah.

Turut dikesan taktik mengupah gelandangan sebagai boneka bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Memang orang itu duduk senyap. Dia bagi RM400-RM500. Anggota penguat kuasa kita datang dia duduk kat sebelah. Ada kemungkinan. Dia diberi tempat tinggal di atas kedai. Bila anggota penguat kuasa datang dia panggil sahaja,” katanya.

Dalam operasi ini, 20 premis perniagaan diperiksa, antaranya premis menjual makanan, barangan runcit, aksesori telefon, dan kedai gunting rambut.

Hasil operasi 14 notis dikeluarkan kerana kesalahan mengambil warga asing tanpa permit sah bekerja.

Premis perniagaan yang dijalankan warga asing ini bukan sahaja beroperasi dengan menggunakan lesen ‘Ali Baba’, iaitu lesen milik warga tempatan, namun turut menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mana jelas menyalahi undang-undang.

Selain itu, ada premis ini dikesan menyalahgunakan lesen dengan menjalankan aktiviti perniagaan berbeza dengan aktiviti lesen yang diberi.

Dari 2023 hingga Mei 2024, 3,588 notis dikeluarkan, 4,080 sitaan dibuat dan 343 premis ditutup, melibatkan warga asing.

Hasil operasi, SPRM menahan lima warga tempatan, dua warga asing dan seorang pemastautin tetap berusia antara 30 hingga 50-an.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.

Kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok di bawah Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini