Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Op Sky: Sindiket lantik artis, selebriti promosi syarikat


KUALA LUMPUR: Syarikat perunding kewangan yang terbabit sindiket rasuah dan pengubahan wang haram turut dikesan menggunakan artis dan selebriti sebagai ikon dan duta rasmi untuk mempromosikan syarikat.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, hasil siasatan mendapati syarikat ini sememangnya menjadikan individu popular untuk menarik perhatian ramai.

Selain itu, katanya, mereka juga mengiklankan tawaran syarikat melalui papan iklan, Facebook, TikTok dan Instagram serta menggunakan kaedah soal selidik.

Beliau juga memaklumkan kumpulan itu turut menjelajah ke sekolah, hospital dan klinik, bertujuan untuk memancing individu dalam kalangan guru sekolah dan kakitangan awam lain.

“Syarikat ini juga aktif mempromosikan tawaran mereka melalui pertubuhan seperti yayasan untuk membuat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kerja amal kepada agensi kerajaan dan penjawat awam.

“Kelulusan pembiayaan pinjaman dibuat dengan bantuan pegawai bank dengan cara manipulasi turn around time (TAT) permohonan pinjaman semasa proses kelulusan dibuat,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Azam berkata, kelulusan pinjaman yang diperoleh terhadap semua bank yang dihantar adalah dalam masa tiga ke lima hari daripada tarikh permohonan dibuat.

“Semasa proses ini juga, pihak sindiket akan mengeluarkan surat pembatalan palsu daripada bank yang sudah lulus pinjaman kepada bank yang sedang dalam proses untuk kelulusan pinjaman bagi memastikan semua pinjaman daripada bank pelbagai mendapat kelulusan secara serentak.

“Pihak sindiket juga akan mengajar peminjam untuk bekerjasama bagi memastikan proses permohonan berjalan lancar.

“Tiada pemalsuan slip gaji dibuat memandangkan semua komitmen hutang peminjam diselesaikan terlebih dahulu oleh sindiket bagi memastikan peminjam boleh membuat pinjaman dengan nilai maksimum ke beberapa bank secara serentak,” katanya.

Azam berkata, daripada siasatan yang dibuat, SPRM dapati tiada peminjam yang mengalami masalah bankrap tetapi kebanyakan mereka adalah individu yang mempunyai hutang lapuk daripada pelbagai institusi kewangan.

“Kemudian sindiket ini menawarkan untuk membantu menyelesaikan hutang-hutang lapuk sedia ada dan apabila hutang itu diselesaikan, mereka akan bantu pula untuk membuat pinjaman baru secara multiple loan’ di dua hingga empat bank secara serentak dengan jumlah yang lebih besar dan melebihi kemampuan peminjam.

“Daripada jumlah pinjaman besar yang diperoleh ini, sindiket akan mendapat keuntungan daripada caj yuran penyelesaian hutang lapuk sebanyak 40 peratus dan caj yuran perkhidmatan sebanyak 35 peratus,” katanya.

Menurut Azam, pihak sindiket menetapkan gaji minimum untuk layak memasuki program kewangan adalah sebanyak RM4000 ke atas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini