Tumpuan :
Nasional

Op Sky: Mangsa mungkin tidak dapat lunaskan pinjaman

 

 

 

Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Oleh : Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Mangsa, termasuk penjawat awam yang terjebak dalam sindiket didalangi syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Op Sky, berkemungkinan besar tidak mampu melunaskan hutang pinjaman mereka.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia berikutan peminjam membuat tiga hingga empat pinjaman daripada beberapa bank secara serentak dengan anggaran bernilai RM 1 juta.

Difahamkan, bayaran bulanan yang perlu dibayar pula mencecah 12 ribu ringgit.

Siasatan SPRM juga mendapati sejumlah 1,073 penjawat awam terlibat dengan pinjaman itu.

“Walaupun selepas sindiket ini lumpuh peminjam tetap perlu melunaskan jumlah pinjaman beserta faedah, ketidakmampuan membayar balik pinjaman ini juga boleh menyebabkan penalti kewangan rekod kredit yang terjejas, disenarai hitam, dan risiko dikenakan tindakan undang-undang yang membawa kepada kerugian kewangan yang lebih besar,” katanya kepada Buletin TV3.

Hasil analisis kewangan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sindiket mengenakan yuran perkhidmatan sebanyak 35 peratus dan yuran penyelesaian pinjaman sedia ada sebanyak 40 peratus.

Sindiket ini turut merasuah pegawai bank untuk memanipulasi Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) serta memalsukan dokumen bagi memastikan pinjaman diluluskan serentak.

Bank-bank yang terlibat mengalami kerugian signifikan akibat peningkatan pinjaman tidak berbayar.

Setakat ini, sebanyak 27 individu, termasuk lapan pengarah syarikat, seorang ejen, dan 18 pegawai bank, telah ditahan bagi membantu siasatan.

Dua minggu lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Operasi tersebut, dikenali sebagai Op Sky, menyaksikan penahanan 12 individu menerusi serbuan di 24 lokasi, termasuk rumah kediaman dan pejabat sekitar Lembah Klang.

Siasatan turut mengesan bahawa hampir RM700 juta pinjaman bank telah diluluskan kepada peminjam yang menawarkan bantuan kewangan, dengan kegiatan sindiket ini bermula ketika pandemik COVID-19.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini